Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret Kota Samarahan, Dayang Roselind Awang Mahdini mengeluarkan perintah tahanan reman itu untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 376 (B) Kanun Keseksaan kerana me­lakukan sumbang mahram.

Jika sabit kesalahan, kese­mua suspek boleh dihukum penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan.

Terdahulu, keempat-empat suspek yang berpakaian lokap polis diiringi anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serian tiba di pekarangan mahkamah di sini kira-kira pukul 1 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk Dev Kumar berkata, susulan laporan polis yang diterima, kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 57 tahun itu telah ditahan di sebuah rumah di Kampung Daha Seroban pada pukul 3.30 petang semalam.

Katanya, perbuatan terkutuk keempat suspek terbabit akhir­nya terbongkar selepas gadis yang merupakan anak sulung kepada seorang suspek berusia 42 tahun disahkan hamil selama 25 minggu oleh doktor di Hospital Serian.

“Hasil temubual de­ngan pihak hospital, gadis yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu mendakwa telah menjadi mangsa nafsu ‘buas’ keempat-empat suspek sejak dia berusia 13 tahun.

“Tidak cukup dengan­ itu, remaja tersebut juga mendakwa adik bongsunya yang kini berusia 14 tahun dijadikan tempat melampiaskan nafsu ketika berusia sembilan tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Dev berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek bekerja sebagai petani dan menetap di rumah yang sama.

“Kedua adik-beradik berke­naan kini masih menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini,” katanya.