Pertuduhan terhadap Saiful Islam, 37, Mijun, 36, Mohammad Sujon Miah, 39, dan Md. Solaiman, 34, dibuat di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menyeludup tujuh lelaki warga Bangladesh berusia antara 31 hingga 55 tahun di sebuah rumah di B-16-11, South Bank Residence, No. 179, Jalan Klang Lama di sini pada pukul 4 pagi, 23 Julai lalu.

Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Najwa Bistamam manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, T. Harpal Singh.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang bekerja sendiri kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sebutan semula kes ditetapkan 27 Ogos ini. -UTUSAN ONLINE