J. Ragesuthen dan S. Gokulan masing-masing berusia 18 tahun serta dua lagi remaja berusia 16 dan 17 tahun dituduh melakukan perbuatan itu di Pusat Pem­belajaran Karpal Singh, Jalan Kaki Bukit, Glugor di sini kira-kira pukul 11 malam hingga 12 tengah malam 9 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman mati mandatori.

Kesemua tertuduh mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid namun tiada pengakuan direkodkan daripada mereka.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Hussin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohamad Amin juga tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 September ini sebagai sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Seksyen 2, Hakim Irwan Suaibon turut tidak menawarkan jaminan terhadap keempat-empat tertuduh bagi pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada T. Previin, 19, di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika disabit bersalah.

Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lim Saw Sim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian mene­tapkan 21 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, kesemua tertuduh dilihat menangis teresak-esak sebaik sahaja dibawa masuk ke kamar mahkamah.

Pekarangan mahkamah juga sesak selepas lebih 50 ahli keluarga keempat-empat tertuduh ha­dir mendengar kes pendakwaan yang dihadapi mereka.

Kes itu menjadi perhatian masyarakat selepas mangsa yang dibuli dan dibelasah sekumpul­an remaja menggunakan topi kaledar meninggal dunia selepas hampir seminggu tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Selain parah dibelasah, dubur mangsa juga ditusuk dengan objek tumpul serta terdapat kesan terbakar pada bahagian bahu.