Tiga tertuduh, Mohd. Zuhaidi Mohammad Sauki,33; Mohd. Rezli Mohd. Shaedin, 59, dan Saparuddin Dollah, 53, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nor Azizah Aling manakala Fuad Mangsor, 31, mengaku bersalah di hadapan Majistret Nurul Naim Abdullah.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di antara pukul 10 pagi hingga pukul 10.15 pagi di kaunter jualan rokok tepi Jalan Pasar Baru 1, Pasar Besar Kuantan di sini pada 4 Januari lalu.

Mohd. Zuhaidi dari Kemasik, Terengganu didakwa memiliki rokok seludup bernilai RM343.84, Mohd. Rezli dari Kampung Baru, Lorong Seri Teruntum (RM100.16), Saparuddin dari Kuala Krau (RM253.80) manakala Fuad dari Langkawi, Kedah (RM220.52).

Pertuduhan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 153 (1) (b) (aa) iaitu denda 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 (mana lebih tinggi) sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 (mana lebih tinggi).

Ia juga memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin untuk Mohd. Zuhaidi, Mohd. Rezli dan Saparuddin manakala RM10,000 untuk Fuad.

Kesemua mereka perlu melaporkan diri di Pejabat Bahagian Penguatkuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) negeri pada setiap Isnin minggu pertama.

Keputusan akan diumumkan pada 21 Februari depan selepas ujian kimia diperoleh.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa JKDM, Mohd. Khairuddin Niesha Mohd Shafee manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. - UTUSAN ONLINE