Helmi Izzudin Mustafa, 22; Mohd. Faiz Zulkeply, 25; Mohamad Fahmi Norizan, 26; dan Abdul Mueizq Elias, 24, masing-masing mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Zabariah Mohd. Yusof atas tuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kematian mangsa.

Sebelum ini, pada 15 Ogos tahun lalu, kesemua tertuduh didakwa me­ngikut Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori namun pertuduhan tersebut telah dipinda.

Hakim Zabariah memerintahkan Helmi Izzudin, Mohd. Faiz, Mohamad Fahmi dan Abdul Mueizq menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 3 Ogos 2014.

Mereka didakwa menyebabkan kematian Muhammad Amir Fadzli di Kilometer (KM) 8, Batu 3, Jalan Labu berhampiran tapak pembinaan Bandar Ainsdale dekat sini antara pukul 2 pagi dan 8.30 pagi, hari kejadian.

Berdasarkan fakta kes, ketika tertuduh sedang menunggang motosikal secara beramai-ramai dan berhenti di lampu isyarat Taman Sri Mawar, Senawang, mangsa muncul menunggang motosikal seorang diri dan menekan minyak (rem) sambil memandang tertuduh pertama dan rakan-rakan.

Tertuduh pertama berlumba de­ngan mangsa sehingga ke susur tol Seremban. Mangsa kemudian dikejar tertuduh kedua, ketiga dan keempat sebelum dia terbabas di kanan jalan di KM4, Jalan Seremban Labu.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat hentakan di bahagian belakang dada oleh objek tumpul. Terdapat juga beberapa kecederaan yang bukan akibat kemalangan seperti lebam di bahagian mata dan belakang lengan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aznee Salmie Ahmad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Paul Krishnaraja, Asmawi Ismail, P.G. Jayaprakash dan Eddin Syazlee Shith.