Tertuduh, Farah Waheda Abu Bakar, 21, Mohd. Shahrul Ikhwan Shahbani, 22, Hor Yong Wei, 23, dan Chee Woei Yong, 29, mengangguk tanda faham sebaik sahaja pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Azwani Osman.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pendakwaan, semua tertuduh bersama-sama lima yang masih bebas pada 28 Mei lepas kira-kira pukul 4 petang di Plaza Sentosa di sini dengan niat bersama menyebabkan kematian ke atas Mohamad Fisol Abu Bakar.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Majistret menetapkan 25 September sebagai tarikh sebutan semula dan tiada wang jaminan ditawarkan.

Akhbar melaporkan seorang lelaki cedera parah pada bahagian kiri kepalanya selepas dibelasah beramai-ramai di Plaza Sentosa di sini setelah disyaki cuba mencabul seorang pekerja kedai telefon bimbit.

Lelaki berkenaan yang cedera parah dilaporkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah di sini. - UTUSAN ONLINE