Perintah reman selama empat hari terhadap eksekutif teknikal dan kontraktor itu yang masing-masing berusia 35 dan 48 tahun, dikeluarkan oleh Majistret Nabihah Mohd Noor di sini hari ini.


Terdahulu, kedua-dua suspek yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh dengan diiringi para pegawai, kira-kira pukul 11.30 pagi.


Kesemua suspek tersebut ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.


Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, eksekutif berkenaan yang ditangkap kira-kira pukul 4 petang semalam di pejabat FIC, Trolak, dipercayai memperakukan invois palsu dikemukakan oleh kontraktor berkenaan sebagai bayaran bagi kerja-kerja pembinaan tembok penahan tanah runtuh untuk rumah peneroka Felda Trolak Selatan dekat Sungkai.


“Sedangkan kerja-kerja yang dibuat, tidak mengikut spesifikasi ‘Bill of Quantity’ yang ditetapkan oleh jawatankuasa tender bernilai RM137,900,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE