Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapinya.


Pada masa sama, Abdul Wahab turut memerintahkan tertuduh, Keow Sze Teve, 36, menjalani hukuman penjara selama 16 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas empat lagi pertuduhan iaitu masing-masing dua membabitkan pemilikan senjata api serta dua berkaitan pemilikan amunisi atau peluru tanpa lesen.

Kesemua kesalahan itu dilakukan pada tarikh dan masa yang iaitu kira-kira pukul 2 pagi di Jalan Impian Ria, Taman Impian Ria, Machang Bubok, dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini, 19 Jun 2015.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methampetamine seberat 512.2 gram (g) dan 417.0 g dan didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Bagi kesalahan berkaitan pemilikan senjata api pula, tertuduh didapati memiliki dua pucuk pistol masing-masing berjenama Coughar 8000 FT dan Pietro Beretta Gardone VT dan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan enam sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi kesalahan berkaitan pemilikan amunisi atau peluru tanpa lesen, tertuduh didapati memiliki 32 butir peluru jenis S&B 9X9 12 dan 15 butir peluru S&B 40 S&W bagi pertuduhan pertama serta 12 butir peluru RA1 10 LUGER 9MM bagi pertuduhan kedua.

Kedua-dua kesalahan itu pula didakwa di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang jika didapati bersalah, boleh dipenjara tidak melebih tujuh tahun atau didenda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Abdul Wahab bagaimanapun memerintahkan tertuduh dipenjara selama lapan tahun dan dikenakan enam sebatan bagi setiap pertuduhan memiliki senjata api selain penjara lima tahun bagi setiap kesalahan berkaitan pemilikan amunisi atau peluru tanpa lesen.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, S. Selvaranjini manakala tertuduh pula diwakili peguam, Ravi Chandran.-UTUSAN ONLINE