Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Zainal Azam Abd. Aziz setelah mendapati pihak pendakwa telah membukti kes terhadap tertuduh, Syed Muhammad Shahril Hazwan Syed Abdullah, 25.

Tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai perabot milik bapanya dituduh mengedar 176.85 gram dadah jenis Methamphetamine di sebuah rumah di Jalan Simpang Tok Ku, Kampung Simpang Tok Ku di sini pada 28 September 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh telah ditahan dalam serbuan di rumahnya oleh sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Terengganu kira-kira pukul 12.45 tengahari, 28 September 2015.

Tertuduh kemudian membawa pasukan serbuan ke dalam sebuah bilik dan hasil pemeriksaan ke atas almari pakaiannya, dua bungkusan warna kekuningan ditemukan di bawah laci almari dan di dalam bungkusan itu berisi plastik berwarna biru yang mengandungi pil disyaki dadah.

Hasil pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati jumlah keseluruhan pil di dalam dua bungkusan tersebut adalah 11,993 biji.

Barang kes itu telah dihantar ke Jabatan Kimia Kuala Terengganu dan hasil analisis mendapati jumlah berat keseluruhan dadah Methamphetamine adalah 176.85 gram.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam bela Nordin Kassim. - UTUSAN ONLINE