Muhamad Samri Hashim, 40, dan Salina Dtiauddin, 32, turut dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan atas pertuduhan kedua kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 39.41 gram.

Hakim Datuk Hashim Ham­zah menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati pihak pem­belaan gagal menimbulkan ke­raguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Kes pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shuhada Mohd. Yatim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Burhanudeen Abdul Wahid dan M. Chandran.

Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Samri dan Salina didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 23.32 gram dan monoacetylmorphine seberat 3.55 gram kira-kira pukul 1 pagi, 12 Mac 2015 di Jalan Bukit Awi, Kulim.

Penjual kereta terpakai dan ibu tunggal kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, ke­dua-duanya didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 39.41 gram pada masa dan tempat yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama dan boleh dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pen­jara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak kurang daripada 10 kali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam rayuan, Bur­hanudeen memberitahu, Muhamad Samri yang cacat akibat kemalangan pada 1998 be­kerja sebagai penjual kereta terpakai bagi menanggung isteri, seorang anak serta ibunya.

“Tertuduh kedua pula be­kerja sebagai pembantu di rumah kebajikan anak yatim untuk menyara tiga orang anak dan kedua ibu bapanya yang berusia 60-an. Tertuduh juga mengaku berada pada waktu dan tempat yang salah ketika kejadian itu berlaku,” ujarnya.