Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu ke atas tertuduh, Taza Tarji, 23, dan rakannya warga Indonesia, Herman, 34, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Taza dan Herman didakwa mengedar dadah berbahaya itu di atas sampan fiber berwarna merah biru kira-kira dua kilometer dari perairan Tanjung Piai, Pontian pada pukul 4.15 petang, 27 September 2016.

Kedua-duanya yang saling me­ngenali antara satu sama lain didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit ke­salahan.

Sepanjang perbicaraan yang bermula pada 23 Julai 2017, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Iffa Zarilla Abd. Rahman yang mengendalikan pendakwaan mengemukakan enam saksi.

Taza yang bekerja sebagai pelayan diwakili peguam Lydiana Mansor, manakala peguam Azrul Sani mewakili Herman yang be­kerja sebagai pekerja kontrak. Pihak pembelaan mengemukakan empat saksi pada prosiding bela diri.

Taza tidak dapat menahan sebak selepas mendengar keputusan yang dibuat hakim dan ditenangkan oleh ahli keluarga­nya yang hadir di mahkamah.

Mengikut fakta kes, pemeriksaan yang dilakukan dalam sampan yang digunakan kedua-dua tertuduh menemukan sebuah beg celoreng yang diletakkan di haluan sampan.

Beg tersebut didapati berisi bungkusan makanan dan minuman segera, namun dipercayai dibungkus semula selain bungkusan surat khabar dan plastik lut sinar yang berisi serbuk kristal disyaki dadah.