Tertuduh, Helmee Othman, 38, iaitu duda beranak empat mengaku bersalah terhadap kesemua tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Roslizi Sulaiman dan Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, lelaki itu yang juga penganggur didakwa mencemarkan Surau Sabilul Huda dengan meletakkan patung berhala agama Buddha dan Hindu sehingga mendatangkan keaiban kepada agama Islam di antara pukul 4 petang, 20 Februari lalu hingga 2.45 petang 23 Fenruari 2019.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Sekyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Selain itu, Helmee turut didakwa mencuri patung sembahyang milik seorang lelaki berusia 51 tahun di sebuah rumah di Lebuh Pendamar Indah 1, Pandamaran, di antara pukul 4 petang hingga 9.30 malam, 20 Februari lalu .

Pertuduhan bagi kesalahan ini dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali. - UTUSAN ONLINE