Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Peter Thang Maung, 35, dan Lalnunsangi, 20, kerana mereka tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Thang Maung yang bekerja sebagai buruh binaan didakwa menawarkan suapan berjumlah RM400 kepada seorang anggota polis, Konstabel Muhammad Amirullah Pauzi supaya tidak mengambil tindakan terhadap Lal­nunsangi yang memiliki kad pelarian Alliance of Chin Refugees (ACR) tamat tempoh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah kedai­ perkakasan di Temerloh kira-kira pu­kul 9 malam, 8 Jun lalu.

Pendakwaan terhadap Thang Ma­ung dibuat Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sementara itu, Lalnunsangi yang bekerja sebagai pencuci pinggan di restoran didakwa bersubahat dengan Thang Maung untuk memberikan ra­suah kepada Muhammad Amirullah bagi mengelakkan tindakan ke atas dirinya yang memiliki kad pelarian ACR tamat tempoh di lokasi dan masa yang sama.

Pendakwaan terhadap Lalnunsangi dibuat mengikut Seksyen 28 (1) (c) yang dibaca bersama Seksyen 17 (b) akta sama.

Kedua-dua tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Habibah menetapkan 13 Julai ini untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan ikat jamin terhadap kedua-dua tertuduh bagi mengelakkan mereka melarikan diri kerana tidak memiliki pasport.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd. Zamry manakala ke­dua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

habis///