Bagaimanapun, tertuduh Mahmmed Asruddeen Karike Basheer dan Riza Rifari berusia 26 dan 20 tahun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Mohd. Isa Md Nor.

Mengikut pertuduhan, Mahmmed Asruddeen Karike Basheer menyimpan barangan larangan iaitu rokok putih pelbagai jenama antaranya Concept dan Manchester sebanyak 1,380 batang bernilai RM107.20.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Kampung Bukit Changgang di sini kira-kira pukul 10.30 pagi pada 2 Januari lalu.

Manakala, pada dakwaan berasingan, Riza Rifari pula didakwa atas kesalahan sama menyimpan barangan larangan iaitu rokok putih jenis Manchester sebanyak 1,600 batang bernilai RM128.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Bandar Saujana Putra, Jenjarom di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada 3 Januari lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, mereka di dakwa di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1)(v)(aa) akta yang sama.

Jika disabitkan bersalah, boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 (yang mana lebih tinggi) sehingga tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai suapan atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Mohd. Isa membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 19 Februari hadapan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Muhammad Khairul Farhan Rakbi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, T. Mishant. - UTUSAN ONLINE