Lelaki yang dikenali sebagai Mr. Y dan Mr. Chang kemudiannya dikesan di Balai Pelepasan, KLIA bersama-sama Hanamori yang dikatakan perancang kejadian tersebut sebelum disertai oleh seorang lagi dikenali sebagai James.

“Pada pendapat saya, tindakan tukar penampilan adalah untuk cuba mengelirukan. Jika tiada sebarang agenda yang cuba disem­bunyikan, mengapa perlu menukar penampilan,” ujar Pegawai Pe­nyi­asat Kanan dari Ibu pejabat Po­lis Daerah (IPD) Sepang/KLIA, Asisten Supe­rin­tenden Wan Azirul Nizam Che Wan Aziz sewaktu pemeriksaan utama oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad.

Saksi itu berkata demikian pada perbicaraan hari ke-11 kes warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, yang didakwa membunuh Jong-nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas di Balai Berlepas KLIA2, Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua wanita itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Menjelaskan kronologi kejadian itu berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), saksi pendakwaan kesembilan itu memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Hanamori, Mr. Y dan Mr. Chang tiba di KLIA2 pada pukul 7.28 pagi manakala James dikesan berada di KLIA2 pada pukul 7.32 pagi.

Hanamori dan James kemudian dilihat berjalan dan duduk di sebuah meja di bahagian luar hadapan Restoran Bibik Heritage, aras 3 lapangan terbang itu sebelum James dilihat meninggalkan tempat tersebut.

Kira-kira seminit selepas James meninggalkan restoran terbabit, Ha­namori didatangi oleh Mr. Y yang ketika itu memakai baju warna seakan-akan kelabu, topi besbol dan beg galas dan berbual hampir tiga minit sebelum meninggalkan premis itu.

Hanamori kemudian didatangi pula oleh Mr. Chang yang bermisai dan berjanggut serta memakai baju kelabu, kasut hitam berjalur putih dan membawa beg plastik warna putih. Dia kemudian dilihat mengambil topi besbol warna hitam berlogo Adidas daripada beg plastik dan memakainya sebelum meninggalkan ‘rakannya’ itu.

“Selepas kejadian (Jong-nam) diserang, Hanamori masih berada di sekitar kawasan terbuka aras 3 KLIA2 sambil menghisap rokok dalam keadaan seperti ingin memastikan semua perancangan berjalan lancar sehinggalah saya dapati Hanamori beredar dari KLIA2 bersama-sama Mr. Y dan Mr. Chang dengan menaiki kenderaan sama,” katanya.