Erza Iwan Ni @ Nirman, 34, menghadapi tiga pertuduhan manakala rakannya, Aza Nizam Abd. Razak, 40, didakwa atas dua pertuduhan yang kese­muanya dilakukan dalam bilik tidur tingkat satu di sebuah taska, Jalan Pandan, Pandan Indah, di sini kira-kira pukul 4.30 pagi, 14 Julai lalu.

Di hadapan Hakim Azrul Darus, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap dua mangsa berusia 20 dan 18 tahun dengan menggunakan sebilah pisau dan merampas seunit tele­fon bimbit jenama Yes, sebuah televisyen jenama Philips, bateri telefon bimbit jenis VC dan wang tunai RM300 yang kesemuanya berjumlah RM1,320.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Aza Nizam turut menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, setelah didakwa merogol remaja berusia 18 tahun itu.

Sementara di hadapan Hakim Syafeera Mohd. Said, Erza Iwan didakwa merogol dan melakukan seks oral terhadap remaja berusia 20 tahun itu tanpa kerela­an mangsa iaitu pertuduhan mengikut Seksyen 376(1) dan Seksyen 377C kanun sama, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin tidak mencadangkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana kesalahan mereka serius dan kes tersebut menjadi tular di laman sosial.

Azrul dan Syafeera kemudian tidak membenarkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin dan mene­tapkan 7 September ini untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melapor­kan dua guru taska dirompak dan dirogol di premis berkenaan sebelum tertuduh menyimbah cecair peluntur di seluruh badan mangsa kononnya untuk menghilangkan bukti.

Mereka kemudiannya melari­kan diri bersama barangan yang dirompak.