Mohamad Amier Amzar Mohamad Aspar, 22, dan Muhammad Noor Izwan Mat Zamin, 19, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan selesai dibacakan terhadap mereka oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Fitri Sadarudin. 


Kedua-dua tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan bunuh dengan menyebabkan kematian Md. Ovaidul di Sungai Kinta, Kawasan Sungai Galah di Kampung Gajah antara pukul 8.20 hingga 10.20 malam, 15 Disember lalu.


Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang turut tidak dibenarkan diikat jamin.


Pada prosiding sama, kedua-dua tertuduh turut tidak mengaku bersalah bagi tuduhan melupuskan mayat mangsa dengan niat untuk menyembunyikan pembunuhan itu dan menyebabkan mereka terlepas daripada hukuman. 


Pertuduhan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan kerana melupuskan barang bukti yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda itu dilakukan pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farhana Hashim dan peguam Mahinderjit Singh mewakili Mohamad Amier Amzar manakala Muhammad Noor Izwan pula tidak diwakili peguam.


Terdahulu, Mahinderjit dalam rayuannya meminta mahkamah membenarkan anak guamnya dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemerhatian mengikut Seksyen 342(1) Kanun Prosedur Jenayah kerana tertuduh difahamkan tidak sempurna akal.


Mahkamah yang membenarkan permohonan tersebut telah mengarahkan Mohamad Amier Amzar dihantar untuk pemeriksaan selama sebulan dan menetapkan 30 Januari ini untuk tarikh sebutan semula kes.-UTUSAN ONLINE