Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid bagaimanapun menetapkan 12 Disember ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap penganggur, Muhammad AlSharif Madsa dan pekerja restoran makanan segera, Muhammad Amirul Hafiz Sudirman Shah masing-masing berusia 19 tahun sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Muhammad AlSharif dan Muhammad Amirul Hafiz didakwa bersama-sama merompak Low Shi Jie, 25, dengan merampas telefon pintar iPhone 7 Plus, kunci serta kad akses rumah, kunci kereta dan sebuah kereta jenis Perodua Myvi serta wang tunai berjumlah RM150 milik mangsa.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di kawasan pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR) Kepong, Sentul di sini kira-kira pukul 3 pagi, 29 Oktober lalu.

Mengikut fakta kes, semasa Shi Jie menaiki tangga untuk ke rumahnya telah didatangi empat hingga lima lelaki memukulnya sehingga mangsa cedera di siku kiri, muka, dahi dan mulut sebelum merampas barang-barang milik wanita itu.

Kedua-dua remaja lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh disebat.

Terdahulu, Muhammad AlSharif merayu hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja kerana ingin sambung pengajian malah mempunyai ibu yang hanya suri rumah dan merupakan anak bongsu daripada lima adik-beradik manakala Muhammad Amirul Hafiz berkata, dia perlu menanggung keluarga kerana ayahnya hanya bekerja sebagai pemandu lori dan mengalami masalah jantung.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh namun mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh. - UTUSAN ONLINE