Dua rakan Muhammad Imran Abdullah, 19 (kiri) dan M. Veesnu, 21, (kanan) masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merompak seorang pelajar kolej warga Bangladesh, Sabtu lalu. Pemberita Athirah UTUSAN

Operator di sebuah taman tema, M. Veesnu, 21, dan Muhammad Imran Abdullah, 19, yang bekerja sebagai penjaga tempat letak kereta bersama-sama didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas Md. Nur Islam, 35, dengan merampas seunit telefon bimbit jenama Samsung J2 warna emas dan wang tunai RM47 di kaki lima di hadapan sebuah hotel, Jalan Khoo Teik Ee melalui Jalan Imbi, di sini kira-kira pukul 2 pagi, 4 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, N. Joy Jothi mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Pihak pendakwaan sebelum itu tidak mencadangkan jaminan kerana kesalahan di bawah seksyen ini tidak boleh dijamin namun peguam, R. Sritheran yang mewakili Veesnu dan Muhammad Imran memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya perlu menanggung keluarga dengan pendapatan RM1,000 sebulan.

Hakim Mahyon Talib membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan saksi-saksi pendakwaan selain melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali serta menetapkan 5 September ini untuk sebutan kes. - UTUSAN ONLINE