Majistret Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hanif Sabran, 29, dan rakannya, Saiful Yazan Aziz, 33, selepas mereka mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di butik Levi’s, Sunway Pyramid di sini kira-kira pukul 11.45 malam, 16 September lalu.


Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa telah memecah masuk butik tersebut dan mencuri 131 helai pakaian pelbagai jenama antaranya Levi’s dan Reebok serta wang tunai berjumlah RM21,262. Jumlah keseluruhan barangan yang dicuri termasuk wang tunai adalah RM50,539.


Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh didenda, jika kesalahan itu mencuri, tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan dilakukan kali kedua boleh juga didenda atau sebat.

Pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki 131 helai pakaian yang dicuri dari butik tersebut yang telah dilaporkan hilang dan barangan itu ditemukan bersama mereka di sebuah rumah di Bukit Merah, Bagan Serai, Perak pada pukul 2.30 pagi, 29 September lalu.


Bagi pertuduhan kedua itu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dari tarikh tangkap mereka pada 29 September lalu bagi kesalahan memecah masuk butik manakala bagi kesalahan memiliki harta curi, mereka diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan dan kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan.

Mengikut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Firdaus Mohamed Idris, pada hari kejadian, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kedua-dua tertuduh memecah masuk butik tersebut dan mengambil pelbagai barangan sebelum melarikan diri.

Siasatan pihak polis telah berjaya menemukan kedua-dua tertuduh bersama barangan yang dicuri di sebuah rumah di Bukit Merah, Bagan Serai. - UTUSAN ONLINE