Hakim Mahyon Talib menjatuhkan hukuman tersebut terhadap R. Nanthakumar, 33, dan C.Komagan, 41, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang mereka hadapi.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa merompak dengan bersenjatakan pisau terhadap Ton Kwong Hong, 29, dengan melarikan dua telefon bimbit jenama Honor dan Vivo 81 serta wang tunai RM150 di hadapan Flat San Peng, Dang Wangi di sini pada 12.50 tengah hari, 2 Disember lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa melakukan perbuatan sama terhadap Mohamad Aniff Azahari Hamidi, 29, dengan merompak dompet jenama CK, dua telefon bimbit masing-masing jenama Iphone6S Plus dan Nubia serta wang tunai RM400 yang keseluruhan berjumlah RM1,000 di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Pudu di sini pada pukul 2.20 petang, 4 Disember lalu.

Pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan sebatan dua kali bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula 11 Disember lalu. - UTUSAN ONLINE