Pengawal keselamatan, Ainol Shafik Johar, 23, dan pembantu stor, Ahmad Farizal Ahmad Fuad, 29, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.


Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas pekerja pemasaran, Chou Lee Har, 40, dengan mengambil harta milik mangsa yang menyebabkan mangsa kehilangan kad pengenalan, kad kredit, kad ATM, lesen memandu, kad akses pejabat, beg galas dan alat kawalan jauh kereta.


Akibat daripada perbuatan itu, mangsa mengalami kerugian wang tunai sebanyak RM1,000 serta kehilangan sebuah telefon bimbit.


Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan lif, tempat letak kereta tingkat 3, Blok KA1, Kuchai Avenue Kondominium, Kuchai Lama, di sini pada pukul 5.10 pagi, 2 Januari lalu.


Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.


Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamalluddin tidak mencadangkan sebarang wang jaminan ke atas kedua-dua tertuduh, bagaimanapu peguam bela Keshreena Kaur Sidhu yang mewakili Ahmad Farizal memohon anak guamnya diberikan jaminan dengan alasan dia perlu menyara keluarga manakala Ainol Shafik yang tidak diwakili peguam memberitahu dia tiada penjamin kerana keluarganya tidak tahu dia ditahan polis.


Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap 1 haribulan dan perlu berada di rumah masing-masing pada 12 tengah malam sehingga 6 pagi, sehingga kes selesai.


Mahkamah menetapkan 30 Januari ini untuk sebutan kes. - UTUSAN ONLINE.