K.Mohan, 42, dan How Ah Lai, 45, kedua-duanya merupakan penyelia tapak lombong haram mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Madihah Harullah.

Berdasarkan pertuduhan Mohan didakwa memberi suapan wang tunai RM2,000 kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM iaitu Mohd. Izham Mohd. Hashim, 36, sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan di bawah akta SPRM 2009.

Ah Lai pula didakwa memberi suapan wang tunai RM300 kepada Penolong Kanan Penguasa SPRM, Mohd. Zaki Johari, 34, sebagai dorongan untuk tidak melaporkan kesalahan sebuah lori yang membawa muatan pasir keluar daripada kawasan perlombongan di Presint 20 Putrajaya kepada pihak berkuasa.

Mohan dan Ah Lai masing-masing didakwa melakukan kesalahan itu di Tanah Rizab Kerajaan Taman Selatan dan Tapak Perlombongan Presint 20, antara pukul 1 petang dan 1.30 petang, 11 Februari tahun lalu.

Madihah membenarkan Mohan diikat jamin RM15,000 manakala Ah Lai RM10,000 masing-masing dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat tambahan kedua-dua tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sementara menunggu sebutan kes pada 8 Mei ini. - UTUSAN ONLINE