Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan tersebut diambil setelah pihaknya memperoleh maklumat terperinci termasuk laporan daripada Jabatan Kimia mengenai kandungan susu terbabit.

“Kes berlaku pada Disember (lalu) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ambil masa untuk kenakan tindakan terhadap peniaga terbabit kerana menunggu laporan serta bukti daripada pelbagai agensi berkaitan.

“Tindakan ini jelas menunjukkan bahawa kita menjalankan siasatan secara terperinci dengan melibatkan kerjasama banyak agensi bagi mengheret pesalah ke muka pengadilan,” katanya dalam sidang akhbar selepas me­lawat Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHac) dekat sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah timbalannya, Datuk Henry Sum Agong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Johor baru-baru ini me­ram­pas 210 kotak susu bayi tiruan bernilai RM42,000 dalam beberapa serbuan ke atas lima premis berasingan di ne­geri itu.

Serbuan dibuat ekoran seorang bayi mengalami muntah-muntah teruk setelah menggunakan susu berkenaan yang kemudiannya didapati tiruan oleh pihak pengeluar produk ber­kenaan.

Sementara itu, mengulas sama ada KPDNKK bercadang merampas kopi berperisa durian yang dicampur bahan a­sing dipercayai dadah di Pulau Pinang, Hamzah menjelaskan, pihaknya masih belum mendapat sebarang laporan terperinci mengenainya.

“Beri kita sedikit masa. Apabila sudah disahkan mengandungi dadah, kita akan ambil tindakan selanjutnya,” ujarnya.