Menurut fakta kes, perbuatan mengebom kelab Movida itu dibuat sebagai balasan terhadap kenyataan balas pihak polis berhubung penyebaran video propaganda kumpulan tersebut yang dikatakan ditujukan kepada pihak berkuasa negara sekitar Jun 2016.

Ekoran pengeboman tersebut, lapan pengunjung kelab tersebut mengalami kecederaan dan ada di antaranya yang masih mempunyai beberapa serpihan letupan yang tidak dapat dikeluarkan dari dalam badan mangsa.

Selepas mengakui perbuatan mereka mengebom kelab malam tersebut, Imam Wahyudin Karjono, 22, dan Jonius Ondie @ Jahali, 25, masing-masing dihukum penjara 25 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Pengakuan bersalah itu dibuat selepas dua hari kes itu dibicarakan dan kesemua lapan mangsa selesai memberi keterangan di mahkamah.

Kedua-dua lelaki terbabit didakwa bersama-sama secara langsung melakukan perbuatan pengganas dengan cara memba­ling dan meletupkan bom tangan yang menggunakan fius lever jenis ‘Fuze M213’ sehingga menyebabkan lapan mangsa cedera di pusat hiburan Movida Kitchen, Bar, Club & Lounge, Lot G2 & G3, Tingkat Bawah, IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya, Puchong, kira-kira pukul 2 pagi, 28 Jun 2016.

Pertuduhan dikemukakan oleh Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Saiful Edris Zainuddin dan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam me­ngikut Seksyen 130C(1)(b) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Imam Wahyudin dan Jonius Ondie turut didakwa secara berasingan atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dengan cara bersumpah setia (berbai’ah) serta memberi komen menyokong kumpulan pengganas terbabit pada 30 Mac dan 15 Jun 2016 melalui aplikasi sosial Telegram dalam kumpulan ‘gagak hitam’.

Bagi kesalahan ini, masing-masing didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk digunakan untuk tujuan itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Datuk Nordin Hassan berkata, satu hukuman berat perlu dijatuhkan sebagai mesej kepada `rakan-rakan seperjuangan’ kedua-dua tertuduh yang masih merasakan bahawa ideologi Daesh itu adalah satu matlamat yang betul.

“Bagi pertuduhan memberi sokongan, saya jatuhkan hukuman penjara 10 tahun setiap seorang dan bagi kesalahan mengebom, saya jatuhkan hukuman penjara 25 tahun bagi setiap tertuduh. Kedua-dua hukuman itu saya perintahkan bermula dari tarikh tangkap iaitu dari 29 Jun 2016 bagi Imam Wahyudin dan 1 Julai 2016 bagi Jonius Ondie,” kata Hakim Nordin.