SITI NOOR AINI MOHD. SAID dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, semalam selepas didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga sekeluarga dalam kemalangan di Lebuhraya Duke pada 2015. - UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ

“Sekurang-kurangnya penantian kami selama tiga tahun akhir­nya terjawab, walaupun kami sekeluarga beri kasih sayang kepada Nur Firuza Amira, 10, dan Nur Firuza Aqila, 7, tetapi tetap tak sama de­ngan kasih sayang ibu bapa mereka. Disebabkan kecuaian orang lain anak-anak ini terpaksa menanggung ke­sedihan sepanjang hayat.”

Demikian keluhan Yusnidah Husain, 49, iaitu kakak kepada arwah Fairuz Nizam Husain, 35, ketika dihubungi pemberita untuk mengulas keputusan Mahkamah Majistret di sini hari ini yang menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 ke atas dua pemandu Myvi yang didapati bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga beranak di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE), tiga tahun lalu.

Ditanya sama ada dia akan memberitahu keputusan mah­kamah tersebut kepada dua anak mangsa yang kini berada di bawah ja­gaannya, kata Yusnidah, dia dan suaminya akan menunggu masa yang sesuai untuk berbuat demikian kerana tidak mahu emosi dua kanak-kanak itu terganggu.

“Mungkin malam atau petang akan beritahu Amira, cuma dia ni (Amira) akan sedih dan demam lebih-lebih lagi bila teringat dan rindu dengan arwah ibu bapa mereka dan Aqila pula akan sentiasa bawa bantal milik arwah ibunya ke mana-mana sebab sentiasa ingat dan rindu arwah,” katanya.

Terdahulu, Majistret Zilfinaz Abbas menjatuhkan hukuman itu terhadap Siti Noor Aini Mohd. Said, 39, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 34, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Dalam keputusannya, Zilfinaz menyatakan, mahkamah sangsi dan tidak mempercayai kete­rangan kedua-dua tertuduh yang tidak konsisten dan bersifat penafian semata-mata.

“Siti Noor Aini tidak menafikan pelanggaran berlaku antara kende­raannya dengan kende­raan mangsa namun dia seolah-olah menyalahkan Mitsubishi Pajero (dinaiki mangsa) yang dikatakan datang secara laju dan melulu ke arahnya.

“Mohammad Fizal Reza pula memberitahu dia nampak Pajero menghimpit kereta Siti Noor Aini. Adalah tidak logik di lorong kiri sekali nampak secara jelas kemalangan berlaku, ketinggian Pajero menghalang panda­ngan kereta Myvi milik Mohammad Fizal Reza kecuali dia berada di lorong tengah di belakang Pajero,” katanya.

Zilfinaz turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara dua tahun lagi sekiranya gagal membayar denda itu selain masing-ma­sing hilang kelayakan memegang lesen memandu selama lima tahun. Mereka membayar denda itu.

Mahkamah bagaimanapun mem­benarkan permohonan peguam, Omar Bakhi Ahmad yang mewakili Siti Noor Aini serta peguam, S.N. Seelan yang mewakili Mohammad Fizal Reza untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara tersebut sehingga rayuan selesai di Mahkamah Tinggi.

Jaminan terhadap setiap tertuduh turut dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM14,000 de­ngan seorang penjamin serta kedua-duanya perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.

Penyelia restoran, Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal Reza yang bekerja sendiri dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan memandu secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam dan isteri, Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka yang berusia enam bulan, Nur Firuza Annisa.

Kejadian didakwa berlaku di Kilometer 6 Duke, dari arah Ulu Klang ke Jalan Duta di sini antara pukul 12.31 tengah malam dan 1.05 pagi, 2 Mei 2015.

Dalam kejadian itu, Mohamad Fizal Reza yang juga bapa kepada tiga anak dan Siti Noor Aini yang merupakan ibu tunggal kepada seorang cahaya mata lelaki didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Nurakmal Farhan Aziz dan Muhammad Farith Muhammad Faizal yang telah memanggil 18 saksi manakala pembelaan memanggil dua saksi iaitu kedua-dua tertuduh sepanjang perbicaraan.