Tertuduh, Azura Ghazali, 32, dan Wan Abd. Razak Wan Dollah, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Adli Abd Ghalib.

Paling menarik kamar mahkamah dipenuhi dengan lapan orang peguam bela yang mewakili kedua-dua tertuduh.

Pasukan peguam bela itu diketuai oleh Ahmad Nizam Mohamed manakala pendakwaan dikendalikan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nor Azah Kasran dan Shahidah Muslimah Roslan

Mengikut pertuduhan, Azura didakwa telah memalsukan lima dokumen tuntutan berjumlah RM250 dengan niat memperdayakan Pegawai Tadbir YBGK, G Abirami atas perkhidmatan mitigasi sedangkan ia tidak dilaksanakan di Pejabat YBGK, Tingkat Bawah, Bangunan Mahkamah Tinggi, Jalan Hospital di sini pada 11 Oktober 2015.

Wan Abd. Razak juga dituduh memalsukan lapan dokumen berjumlah RM400 dengan cara yang sama antara 18 Mac hingga 5 Oktober 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu.

Terdahulu, Nor Azah dan Shahidah Muslimah mencadangkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 setiap seorang kerana melibatkan kepen­tingan awam.

Bagaimanapun, Ahmad Nizam meminta jumlah jaminan dikurangkan atas alasan mereka tidak mampu membayar wang jaminan yang tinggi.

Hakim Adli menetapkan Azura dijamin sebanyak RM10,000 manakala Wan Abd. Razak seba­nyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut mengarahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan pasport masing-masing kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh membayar jaminan tersebut.