Yusof, 27 dan Ali, 50, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan kepada mereka di hadapan Majistret Nor Afidah Idris.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa bersubahat melakukan perbuatan khianat dengan memotong kunci pagar stor syarikat AGR Auto Trade Sdn. Bhd.  di hadapan stor syarikat tersebut di Sungai Sikamat, Jalan Cheras Batu 13 di sini kira-kira pukul 3.30 petang, 10 Julai lalu.

 Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa telah bersubahat melakukan pencerobohan jenayah secara bersama-sama di tempat dan tarikh yang sama kira-kira pukul 7.30 petang.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh dibebaskan setelah membayar wang jaminan masing-masing sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan. - UTUSAN ONLINE