Kedua-dua suspek itu tiba pada pukul 9.03 pagi dengan kawalan ketat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Mereka diiringi konvoi pacuan empat roda Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) yang lengkap memakai topeng muka, berpakaian gelap serta diiringi polis trafik.


Kedua-dua suspek pula masing-masing dilihat memakai baju kalis peluru.


Sementara itu, Kompleks Mahkamah di sini sekali lagi menjadi tumpuan lebih 50 pengamal media tempatan dan asing bagi mengikuti kes sebutan semula pertuduhan kes itu.


Kehadiran pihak media yang berkumpul di luar perkarangan kompleks itu di sini seawal jam 5.30 pagi semakin berkurangan berbanding hari pertama kes pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh itu 1 Mac lalu.


Kaunter untuk mengambil pas masuk bagi liputan di dalam bilik mahkamah mula dibuka pada 8 hingga 9 pagi di pekarangan mahkamah.


Hanya wartawan yang membuat liputan berita kes berkenaan dibenarkan masuk mahkamah. - UTUSAN ONLINE