Tertuduh, Datuk Nor Hasnal Hashmi, 49 dan Sayyid Walid Hasuana, 31, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas sembilan pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa memperdayakan sembilan individu untuk mempercayai mereka akan memindah milik lot-lot tanah untuk pembinaan sembilan kediaman kepada mangsa.

Perbuatan itu mendorong kesemua individu terbabit untuk menyerahkan wang keseluruhannya berjumlah RM637,500 kepada syarikat Masgenuine Alliance Holdings Sdn. Bhd. sebagai pembayaran kos pindah milik tanah yang tidak wujud.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka di No 70-G, Jalan Lagenda Suria 3 Taman Lagenda Suria 43100 Hulu Langat, di sini, antara Oktober 2012 dan September 2014.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 10 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria sementara peguam Zainal Omar yang mewakili Nor Hasnal manakala peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar mewakili Sayyid Walid.

Pada Khamis minggu lalu, Nor Hasnal dan Sayyid Walid bersama seorang lagi lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang, atas sembilan pertuduhan atas kesalahan sama membabitkan kerugian RM700,000 enam tahun lalu. - UTUSAN ONLINE