Bekas pengarah syarikat, Lim Soon Ta, 38, dan Koay Peng Hock, 51, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, Soon Ta dan Peng Hock didakwa menerima deposit daripada seorang kerani, Yee Lai Choo, 40, berjumlah RM95,000 tanpa lesen sah mengikut Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013.

Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di syarikat Mi1 Global, di nombor 36A&36B, Jalan Ipoh, di sini pada 30 Mac 2016 dan didakwa mengikut Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137(2) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda sehingga RM5 juta jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya,  Faridah Nurdinie Bahrum mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh namun peguam, Lim Chi Chau yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan Soon Ta kini sudah tidak bekerja selain perlu menanggung kedua-dua ibu bapa yang sudah tua, manakala Peng Hock penyara tunggal keluarga.

Zainal Abidin kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Balai Polis Banda Hilir, Melaka, dan Balai Polis Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pada setiap bulan.

Beliau turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE