PULAU PINANG 19 April - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol dua gadis dalam dua kes berasingan pada hujung 2013 dan Februari lalu.
Tertuduh pertama, Mohamad Azim Mohd Amin, 19 dan tertuduh kedua, Mohammad Aiman Ariff Aabidin, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas mendengar pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suaibon.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Azim yang masih menuntut di sebuah kolej kemahiran di Butterwoth didakwa telah merogol seorang gadis berusia 15 tahun di kawasan semak di Bukit Ayun, Sungai Ara, Bayan Lepas kira-kira pukul 8 malam pada 26 Februari lalu.
Manakala Mohammad Aiman Ariff yang bekerja di sebuah kilang di Perai didakwa telah merogol seorang gadis yang ketika itu berumur 21 tahun di sebuah rumah bernombor 5-12, Krystal Suria, Bayan Lepas kira-kira pukul 1 tengah hari pada 15 Disember 2013.
Kedua-dua suspek didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang menbawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE