Kedua-dua tertuduh, M. Rinishwaran, 19, dan Sharudin Hassan, 31, sekadar mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di depan Majistret Adibah Husna Zainal.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua mereka.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka dituduh secara bersama membunuh E. Muniandy dalam bilik bernombor 307 di LA Motel yang beralamat di 298, Jalan Kelab Cinta Sayang, Taman Bandar Baru.

Jenayah itu didakwa dilakukan antara pukul 6.10 petang hingga 9.45 malam, 4 Mac lalu.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 24 April depan sementara menanti laporan bedah siasat dan kimia.

Akhbar pada 6 Mac lalu melaporkan Muniany ditemukan mati dengan kesan tikaman di beberapa bahagian badan selain kesan hentakan di kepala.

Motif pembunuhan mangsa dipercayai berpunca daripada kehilangan sebuah telefon bimbit milik salah seorang suspek. - UTUSAN ONLINE