Kedua-dua tertuduh, Yip Kah Hou, 24, dan Gan Jia Ji, 20, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan ke atas mereka oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret, Siti Hajar Ali.

Kah Hou dituduh bersama dengan tiga suspek yang masih bebas bersubahat melakukan jenayah dan Jia Ji juga berserta lima orang yang masih bebas didakwa menyebabkan kematian Tan Aik Chai, 44.

Kedua-dua tertuduh dituduh melakukan kesalahan tersebut di kawasan sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi pada 17 Disember 2017.

Kah Hou dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 102 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, manakala Jia Ji dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.