Tertuduh, Muhammad Hassan Syauqi Omar, 23, berdepan tiga pertuduhan dengan yang pertama didakwa dilakukan pada 28 April lalu kira-kira pukul 4.36 petang di premis beralamat 955, Jalan Bukit Puteri 11/3A, Bandar Puteri Jaya dekat sini kerana memberi perkhidmatan kewangan setelah membenarkan kemasukan RM100 ke akaun Maybank miliknya.


Melalui perbuatan itu, dia didakwa mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa secara keseluruhan atau sebahagian perkhidmatan itu akan memanfaatkan pengganas, Muhammad Fudhail Omar, 25.


Untuk pertuduhan kedua, Muhammad Hassan Syauqi pada 1 Mei 2015, kira-kira pukul 8.19 malam di alamat sama didakwa melakukan kesalahan sama, kali ini melibatkan kemasukan RM200 ke akaun Maybank miliknya itu.


Pertuduhan ketiga pula melibatkan kesalahan didakwa dilakukan pada 29 April 2015 kira-kira pukul 3.03 petang, di alamat sama apabila tertuduh membenarkan kemasukan RM2,000 ke dalam akaun tersebut yang mana dia mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai secara keseluruhan atau sebahagian wang itu akan memanfaatkan pengganas, Wan Mohd. Aquil Wan Zainal Abidin, 38.


Kesemua pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Negeri, Nurul Faraheen Yahya di depan Majistret, Adibah Husna Zainal Abidin mengikut Seksyen 130O(1)(b) Kanun Keseksaan sementara tertuduh diwakili peguam, Nurul Syafiqah Razak.


Sementara itu kenalannya, Mohd. Shaiful Mohd. Jaafar, 31, turut dihadapkan ke mahkamah sama kerana  menggunakan akaun Mayabank miliknya bagi memberi wang sebanyak RM890 kepada Muhammad Hassan Syauqi yang mana dia mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa harta itu digunakan, secara keseluruhan atau sebahagian untuk perbuatan pengganas.


Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 April 2015, kira-kira pukul 9.15 malam di sebuah premis beralamat No.1605, Lorong Teja 34, Taman Keladi dekat sini.


Pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Negeri, Noor Farahin Ibrahim mengikut Seksyen 130N(b) Kanun Keseksaan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.


Majistret menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula sementara menanti keizinan bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.-UTUSAN ONLINE