Pengurus acara, Ahmad Zain Salimin, 25, dan pengurus stor, Pandi Pabki, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atas mereka selesai dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama rakan sejenayah yang masih bebas didakwa melakukan rompakan dan mendatangkan kecederaan terhadap Mohd. Izlan Razak, 31, yang cedera di dahi; Norain Ibrahim, 24, cedera di tangan kiri dan Muhammad Hasrul Johar, 24, cedera di jari tangan kiri serta menyebabkan kerugian berjumlah RM4,330.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah unit kediaman di Damai Residence, Lorong Damai 7, Wangsa Maju di sini pada pukul 5 pagi, 14 Mei lalu.

Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamalluddin mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Pihak pendakwaan tidak mencadangkan sebarang jaminan bagaimanapun peguam Heather Marie Anthony yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan mereka sudah berkahwin serta perlu menyara keluarga.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dilarang mengganggu saksi pendakwaan serta melapor diri di balai polis dua kali sebulan sementara menunggu sebutan kes pada 6 Jun ini.- UTUSAN ONLINE