Hakim Datuk Mohd. Sofian Abd. Razak menjatuhkan hukuman itu selepas Tonny Indra Prayitna mengaku bersalah memiliki gambar-gambar tersebut di dalam telefon bimbit jenama Lenovo di sebuah premis di Jalan Cecawi 6/19, Gugusan Tanjung, Petaling Jaya, di sini kira-kira pukul 11.45 pagi, 25 Ogos tahun lalu.


Mahkamah memerintahkan bapa kepada empat anak itu menjalani hukuman tersebut bermula dari tarikh tangkap pada hari kejadian.

“Kamu sepatutnya tidak menyimpang daripada matlamat asal iaitu mencari rezeki tetapi kamu telah menyimpan gambar-gambar berunsur pengganas dan mahkamah khuatir sekiranya perkara ini tidak dibendung, kamu akan terus mempunyai perasaan simpati dan ingin menyertai kumpulan pengganas,” kata Hakim Mohd. Sofian.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan tersebut.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Azlina Rasdi memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira keseriusan dan peningkatan kes-kes pengganas namun tertuduh yang tidak diwakili peguam itu merayu hukuman ringan kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga.


“Saya datang ke Malaysia sejak 18 tahun lalu dengan memulakan perniagaan kraftangan di Pulau Pinang sebelum berpindah ke Kuala Lumpur untuk berniaga di pasar malam. Saya memohon Yang Arif berikan hukuman ringan kerana saya benar-benar tidak menyangka menyimpan 34 keping gambar pengganas itu satu kesalahan,” katanya dengan nada sebak.

Di mahkamah sama, juruteknik, Mohd. Fairul Azhar Jaafar, 34, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memberi sokongan dan memiliki bahan berkaitan pengganas Daesh di dalam pemacu pena (pendrive), tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas di pekarangan Pejabat Sumber Manusia ICHOR System Malaysia Sdn. Bhd., No. 6 Jalan Anggerik Mokara 31/63, Kota Kemuning, Seksyen 31, Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 1.15 petang, 25 Mei 2017.

Dia yang diwakili peguam, Mohd. Hezri Shaharil didakwa mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk digunakan bagi kesalahan itu.

Mengikut pertuduhan kedua, Mohd. Fairul Azhar didakwa dengan pengetahuan memiliki barang-barang berkaitan kumpulan pengganas Daesh di dalam seunit pemacu pena di tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a)kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Mahkamah menetapkan 23 Julai ini untuk perbicaraan.