Tertuduh, Nor Azamuddin Ahmad, 48, dan Farid Idris Khan, 37, berpelukan sambil menangis sebaik mendengar keputusan dibacakan Hakim Zanol Rashid Hussain.

Zanol Rashid dalam penghakiman berkata mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan berkenaan selepas mendapati keterangan pembelaan tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas pendakwaan.

Pihak pembelaan juga berjaya mematahkan elemen ‘anggapan’ di bawah Seksyen 50 Akta SPRM 2009 dan tertuduh di lepaskan dan dibebaskan dari semua pertuduhan.

Nor Azamuddin terlepas daripada tuduhan menerima rasuah wang tunai RM45,000 daripada pemilik syarikat DCT Bakery Sdn. Bhd., Datuk Noridan Spee Yee, 56, sebagai dorongan mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 tan metrik bagi Mei 2014 untuk perniagaan yang dimiliki lelaki berkenaan, MNS Utara Enterprise dan MFM Utara Enterprise.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Nombor 69, Persiaran KTC 4/3 Kulim Techno City Golf Kulim Hi-Tech Park Kulim pada pukul 10 malam, 4 Mei 2014.

Bagi pertuduhan kedua, Nor Azamuddin didakwa menerima rasuah RM45,000 daripada Noridan bagi mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 tan metrik untuk bulan Jun 2014 di tempat sama pada pukul 10 malam, 6 Jun 2014.

Bagi pertuduhan ketiga pula, di tempat sama pada pukul 10 malam, 2 Julai 2014, Nor Azamuddin didakwa menerima suapan wang tunai RM45,000 daripada ahli perniagaan berkenaan bagi tujuan sama untuk Julai 2014.

Farid pula dilepaskan dan dibebaskan daripada dakwaan bersubahat dengan Nor Azamuddin bagi ketiga-tiga pertuduhan berkenaan.

Pertuduhan terhadap kedua-dua lelaki berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar dan tertuduh diwakili Ang Chun Pun. - UTUSAN ONLINE