Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz memutuskan demikian terhadap Mohd. Nashriq Ismail, 26, dan Mohd. Aizuddin Abdul Aziz, 28, kedua-duanya bertugas di Balai Polis Butterworth, setelah ketera­ngan pembelaan mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mohd. Nashriq dan Mohd. Aizuddin menghadapi pertuduhan pertama iaitu didakwa meminta suapan wang tunai RM300 daripada sepasang kekasih di Kilometer 8.3, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) pada pukul 9.45 malam, 28 Jun 2014.

Mereka juga didakwa me­nerima suapan RM180 sebagai doro­ngan untuk tidak membawa pe­ngadu dan pasangannya ke Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) kerana berdua-duaan di tempat gelap di Taman Permainan Lorong Lintang Bulan di sini, pada pukul 11 malam hari yang sama.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Nashriq dan Mohd. Aizuddin masing-masing dihukum penjara 10 bulan dan denda RM10,000 sementara bagi pertuduhan kedua, setiap tertuduh dihukum penjara 15 bulan serta denda RM10,000 dan jika gagal membayar denda, hukuman penjara mereka boleh dilanjutkan lagi tiga bulan.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda ti­dak kurang da­ripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Ahmad Ghazali Mohamad Nazri mengendalikan pendakwaan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Ranjit Singh.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan ter­tu­duh-tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan selesai, namun memerintahkan denda RM20,000 setiap seorang dibayar hari ini.