Kes yang akan didengar oleh Hakim Datuk John Louis O’Hara itu ditetapkan untuk pengurusan lanjut pada 20 Januari ini.

Sementara itu, satu lagi kes saman oleh Marina ke atas Zizan berhubung pelanggaran kontrak ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Sesyen Sivil di sini esok.

Kedua-dua kes saman itu akan diteruskan selepas pihak-pihak yang terlibat gagal mencapai sebarang persetujuan penyelesaian ketika proses mediasi di hadapan Hakim Zainal L. Salleh di Pusat Mediasi, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada prosiding hari ini, Zizan atau nama sebenarnya Mohd. Razizan Ab. Razak, 30, diwakili peguam M. Gandhi manakala Marina, 30, diwakili peguam, Harjit Sandhu.

Pada 30 September 2014, Marina selaku plaintif memfailkan saman ke atas Zizan dan dua lagi di Mahkamah Tinggi berhubung pembekuan akaun milik Wire Fame sehingga menyebabkan beliau dan syarikat terbabit mengalami kerugian.

Dua lagi defendan yang dinamakan selain Zizan (defendan kedua) ialah Maybank Islamic Bhd. (Maybank Islamic) defendan pertama dan Wire Fame defendan ketiga. Tiada jumlah tuntutan ganti rugi dinyatakan dalam saman pertama ini.

Marina dalam pernyataan tuntutannya menyatakan ekoran arahan pembekuan yang dikeluarkan oleh Zizan secara lisan dan e-mel, beberapa keping cek kepada pihak ketiga tidak dapat diproses.

Dakwanya, walaupun akaun tersebut telah dinyah beku, insiden tersebut telah menyebabkan artis-artis yang bernaung di bawah syarikat terbabit enggan meneruskan kontrak dan Wire Fame juga gagal mendapatkan artis baharu.

Wanita terbabit turut mendakwa insiden tersebut menyebabkan tiada syarikat luar berminat untuk mengadakan kerjasama sehingga tiada sebarang pendapatan yang boleh dijana oleh syarikat terbabit.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am dan teruk dengan faedah sebanyak lima peratus di samping kos serta relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh Mahkamah.

Pada 5 November tahun lalu, Marina sekali lagi memfailkan saman ke atas Zizan yang dinamakan sebagai defendan tunggal di Mahkamah Sesyen atas dakwaan pelawak terbabit telah menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat televisyen berbayar sebelum kontrak bersama Wire Fame tamat.

Tindakan tersebut, ujar bekas pengurus terbabit, telah menyebabkan beliau kehilangan komisen sebanyak 15 peratus di atas pendapatan Zizan bermula Mei 2014 iaitu selepas pelawak terbabit menandatangani kontrak baharu.

Marina turut mendakwa, Zizan selaku pengarah syarikat Wire Fame juga enggan menandatangani cek pembayaran komisen bagi kerja-kerja yang telah dilakukan pada 2013 dan 2014.

Oleh itu, bagi kes pelanggaran kontrak, Marina menuntut ganti rugi khas sebanyak RM535,500 dan ganti rugi am yang akan ditaksirkan kemudian selain faedah, kos dan relif-relif lain.

Beliau turut memohon perintah injunksi bagi menghalang Zizan meneruskan kontrak baharunya memandangkan pelakon utama filem Abang Long Fadil itu masih mempunyai kontrak dengan Wire Fame.