Nurfatin Taqina Mahmud, 25, dan Intan Nursuhana Hosamudin , 20, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dihukum penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Kedua-dua wanita itu didakwa telah mencuri dua helai baju lengan panjang jenama Hush Puppies masing-masing bernilai RM122.55 dan RM129.90 serta dua pasang kasut jenama Scud Comfort berjumlah RM60 kepunyaan Tesco Stores (M) Sdn. Bhd. di pasar raya Tesco Extra Cheras, Jalan Midah 2, Taman Midah di sini antara pukul 10.45 malam dan 11.05 malam, 26 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, peguam Solehuddin Hakimi mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan ini kesalahan pertama anak-anak guamnya.

“Norfatin Taqina kini sedang hamil anak pertama dan Intan Norsuhana masih bujang telah insaf dan trauma selepas ditahan reman sehari. Berikutan itu, kedua-duanya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira kepentingan awam dan kedua-dua tertuduh tidak sepatutnya menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan oleh majikan. - UTUSAN ONLINE