Tertuduh, Rozana Sawal, 41, didakwa telah menganiayai dari segi fizikal seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun dengan menampar pipi seorang itu sehingga terjatuh daripada kerusi dan melakukan tindakan sama terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun dengan menampar pipi mangsa sebanyak dua kali.

Perlakuan itu dilakukan tertuduh antara pukul 9 pagi sehingga 11 pagi di Tadika Pusat Perkembangan Kanak- Kanak (PPKK) Seri Bijak Bestari MITC Melaka di sini, 30 Julai 2018.

Sementara itu, Nor Sulastri Suratmi Bahrom, 22, didakwa telah menganiayai dari segi fizikal seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dengan cara mengangkat dan meletakkannya di atas leher seorang kanak-kanak lelaki serta mencubit mangsa.

Tertuduh juga telah mengasari kanak-kanak lelaki terbabit yang berusia 3 tahun dengan mengangkat dan mengigit tangannya serta tindakan itu dilakukan tertuduh pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga RM50, 000 atau kedua-duanya dengan tambahan menyempurnakan bon dengan penjamin untuk berkelakuan baik selama apa-apa tempoh atau apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah dan melaksanakan khidmat masyarakat.

Terdahulu, kedua-dua pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd. Rawi tidak menawarkan sebarang jaminan dengan mengambil kira video kes tersebut telah tular di media sosial dan mendapat perhatian netizen, selain meminta syarat tambahan dikenakan.

Beliau bagaimanapun menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 bagi setiap pertuduhan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Peguam, Zarin Mohd. Zin dan Farid Aziz yang masing-masing mewakili Rozana serta Nor Sulastri bagaimanapun memohon jumlah jaminan rendah diberikan dengan menegaskan video yang tular di media sosial tidak boleh mempengaruhi keputusan mahkamah.

Setelah mendengar rayuan kedua-dua belah pihak, Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin bagi setiap tertuduh beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan tidak mendekati saksi-saksi pendakwaan.

Beliau kemudiannya menetapkan 26 September depan sebagai sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE