Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memutuskan demikian tanpa memanggil L. Subbarau @ Kamalanathan, 35, dan P. Murugan, 37, membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie terhadap mereka.

Mengikut keterangan, kesemua 44 kertas peperiksaan UPSR 2014 telah diklasifikasikan sebagai sulit di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), namun enam daripadanya telah dipinda format dan kandungannya.

“Semasa proses pengkelasan semula, PW2 (saksi pendakwaan kedua) hanya menurunkan tandatangan di atas kertas soalan yang dipinda namun tidak memasukkan tarikh.

“Ketika disoal, PW2 tidak dapat menjelaskan dan mengingat tarikh tersebut menyebabkan dokumen itu bukan lagi diklasifikasikan sebagai rahsia,” kata Jagjit ketika membacakan keputusan setebal 102 muka surat yang mengambil masa hampir dua jam.

Enam kertas peperiksaan yang dipinda ialah kertas mata pelajaran Matematik, Sains, Tamil (pemahaman), Tamil (penulisan), Matematik 1 (SJKT) dan Matematik 2 (SJKT).

Selain itu, keraguan mengenai kesahihan ID9, dokumen yang antara lain memberi kuasa kepada pemegang untuk mengkelaskan apa-apa dokumen sebagai ‘sulit’ serta kegagalan pihak pendakwa raya membawa Menteri Pendidikan untuk memberi keterangan di mahkamah merupakan antara faktor kejayaan memihak kepada pasukan pembelaan.

Jagjit berkata, pelaku sebenar kes tersebut perlu dikenal pasti dan dipertanggungjawabkan bagi mengelak kejadian sama berulang pada masa akan datang.

Seramai 15 saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang perbicaraan termasuk Pengarah LPM, Dr. Naimah Ishak.

Mengikut pertuduhan, Subbarau yang mengajar di SJKT Ladang Batang Benar menghadapi lima pertuduhan manakala Murugan yang bertugas di SJKT Ladang Lenggeng berdepan dengan satu pertuduhan.

Subbarau didakwa memiliki soalan UPSR 2014 bagi mata pelajaran Matematik 035/1 dan Matematik 015/1, Bahasa Tamil-Pemahaman 036 dan Bahasa Tamil-Penulisan 037 serta Sains 081 melalui telefon pintar jenis Samsung Galaxy Note 2.

Perbuatan tertuduh mendapatkan soalan-soalan itu didakwa bersalahan dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tertuduh tidak berhak menyimpannya.