Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas Sumustapha Suradi, 41, dan Shamsinar Abdul Halim, 39, selepas mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi pendakwaan.

Ab. Karim bagaimanapun melepas dan membebaskan isteri ketiga Harun Mat Saad, Azida Mohd. Zol, 33; pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40, dan Jefferi Safar, 39, kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan ketiga-tiganya berkonspirasi me­lakukan perbuatan berkenaan.

Harun yang juga ketua kumpulan ajaran sesat ‘Tuhan Harun’ yang meninggal dunia pada 16 Ogos lalu pula dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan berkonspirasi membunuh Ahmad Raffli 10 hari kemudian selepas peguam­nya, Amir Hamzah Arshad membuat permohonan menggugurkan pertuduhan terhadapnya.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas dakwaan membunuh Ahmad Raffli pada pukul 1.50 petang, 10 November 2013 di No.7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota, di sini.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 120B(1) yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama kerana bersama dengan seorang lagi yang masih bebas berkonspi­rasi untuk membunuh Ahmad Raffli pada tarikh dan lokasi sama.

Ab. Karim dalam penghakimannya berkata, daripada keterangan pihak pendakwaan mendapati, pembunuhan dilakukan oleh Sumustapha dan Shamsinar walaupun tidak perlu dibuktikan motif.

“Daripada keterangan anak dan isteri si mati, adalah jelas pe­luru serta senjata digunakan menunjukkan kedua-dua tertuduh adalah orang yang melakukan jenayah itu.

“Berdasarkan keterangan saksi pembelaan ke-14 (SP14), Syed Azlan Syed Abu Bakar, 50, atau Arab, boleh saya merumuskan, dia perancang pembunuhan pegawai JAIP itu,” katanya.

Menurut Ab. Karim, sepanjang kes pembelaan, timbul keraguan wujud kesepakatan antara Syed Azlan, Shaizral Eddie dan Jefferi yang kononnya diarahkan Harun untuk ‘menghapuskan’ pegawai JAIP.

Sebanyak empat pegawai JAIP dinamakan namun Syed Azlan memutuskan untuk ‘melenyapkan’ Ahmad Raffli atas alasan sering membuat fitnah terhadap mereka tanpa sebarang siasatan, ujar beliau.

“Sepanjang keterangan SP14, dia memaklumkan mendapat arahan daripada Harun untuk menghapuskan pegawai JAIP hasil beberapa pertemuan di dua buah hotel sedangkan Harun yang menghidap angin ahmar tidak berupaya berkomunikasi dengan baik serta sukar difahami meskipun oleh isterinya, Azida.

“Bagaimana Syed Azlan boleh memahami arahan tersebut menjadi persoalan. Malah, komunikasi antara Syed Azlan dan Azida yang diberitahu kepada mahkamah melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) juga tidak dikemukakan sepanjang prosi­ding,” katanya.

Syed Azlan yang menjadi saksi di bawah Unit Perlindungan Saksi (UPS) meninggal dunia pada 12 November lalu selepas mengadu sakit dada di sebuah hospital swasta di Seremban, Negeri Sembilan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Khalmizah Salleh dan Nurul Farahah Mohd. Suah dengan mengemukakan 54 saksi manakala tertuduh selain diwakili Amer Hamzah turut diwakili Hermes Putra Media Ibrahim dan Mohammad Naim Mahmud yang memanggil 10 saksi pembelaan.