Muhammad Faizal Rismal, 27, didakwa merompak telefon bimbit jenama Huawei Nova 2i berharga RM1,400 milik seorang wanita, Mafruro Malyis, 24, di hadapan RHB Bank, pusat beli-belah Mid Valley, Brickfields di sini pada pukul 8.15 malam, 1 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang penjaga tempat letak kereta turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memecah masuk sebuah pusat hiburan, awal bulan ini.

Ariansyah Ahmad, 36, didakwa melakukan perbuatan tersebut di Benz Bar, Jalan Berangan, Dang Wangi di sini pada pukul 12.30 tengah hari, 1 Oktober lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan boleh didenda dan jika kesalahan itu maksudnya hendak mencuri, tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun serta bagi mana-mana kesalahan dilakukan kali kedua boleh juga didenda atau sebat.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin ekoran tiada penjamin hadir ketika prosiding pendakwaan kes itu dan menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan bagi kesemua kes. -UTUSAN ONLINE