Jali, 52, dan Mohd. Nasirudin, 41, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas enam pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di mahkamah berasingan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin, Hakim Hilmiah Yusof, Hakim Azwarnida Affandi dan Hakim Mabel S. Muttiah.

Yang turut didakwa bagi pertuduhan bersubahat dan menyalahgunakan wang membabitkan jumlah RM2.56 juta ialah dua isteri Jali, Norhaizan Yahya, 45, dan Nur Nadia Yusof, 30.

Mengikut pertuduhan, Jali yang merupakan bekas Pengerusi Kolerasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Bhd. dan Mohd. Nasirudin didakwa menipu enam individu dengan memperdaya mangsa mempercayai bahawa projek Pembinaan Rumah Mampu Milik 1Malaysia yang ditawarkan kepada enam syarikat oleh Koperasi Pembangunan Hartanah Putrajaya Bhd. (KPHPB).

Pembinaan itu didakwa akan dilaksanakan di Mukim Labis, Segamat, Johor: Sungai Soi, Kuantan dan Mentakab di Pahang; Mukim Pg. Bharu, Manjung, Setiawan dan Bidor di Perak adalah tidak wujud.

Perbuatan mereka mendorong kesemua mangsa menyerahkan wang sejumlah RM5,360, 000 sebagai bayaran bon pelaksanaan untuk menjadi kontraktor projek perumahan itu yang mangsa tidak akan menyerahkan wang jika tidak diperdaya sedemikian.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Koperasi Putrajaya Berhad, Putra Heights, Subang Jaya antara September 2013 dan Februari 2014.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda. - UTUSAN ONLINE