DUA sepupu mengaku tidak bersalah atas 32 pertuduhan cuba menipu dan telah menipu tujuh syarikat insurans berhubung tuntutan insurans kenderaan palsu, dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor, hari ini. - UTUSAN/ROY AZIS ABD. AZIZ

Ang Ban Yong, 34, dan sepupunya, Ang Ban Tien, 37, membuat pengakuan tersebut selepas semua pertuduhan terhadap mereka selesai dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Ban Yong didakwa atas 27 pertuduhan cuba menipu agensi terlibat dan tiga pertuduhan menipu pegawai insurans manakala Ban Tien pula didakwa atas dua pertuduhan cuba menipu syarikat sama.

Mengikut pertuduhan, Ban Yong didakwa cuba menipu enam syarikat insurans melalui 27 individu dengan cara memperdayakan syarikat itu untuk mempercayai bahawa butiran dalam borang tuntutan insurans yang dikemukakan adalah benar sedangkan tertuduh mengetahui bahawa perkara berkenaan adalah tidak benar.

Kontraktor pembinaan itu juga didakwa atas tiga pertuduhan cuba menipu pegawai di sebuah syarikat insurans dengan cara yang sama sehingga mendorong mereka meluluskan tuntutan tersebut yang berjumlah RM89,000.

Sementara itu, Ban Tien yang merupakan pekerja logistik pula didakwa atas dua pertuduhan cuba menipu sebuah syarikat insurans terlibat melalui dua individu bagi tujuan sama.

Kesemua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu di Selayang dan Rawang dekat sini antara 22 November 2016 dan 16 Mac lalu.

Bagi pertuduhan cuba menipu, pihak pendakwaan mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda.

Sementara bagi pertuduhan menipu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 kanun sama yang memperuntukkan hukuman serupa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam M.K. Thas dan Cheng Poh Heng.

Mahkamah kemudian membenarkan Ban Yong diikat jamin RM105,000 manakala Ban Tien pula diikat jamin RM14,000 masing-masing dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan serta dilarang mengganggu mangsa dan ahli keluarga mereka selain menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan kes.

Hari ini akhbar Utusan Malaysia melaporkan kejayaan pihak polis dalam menumpaskan sindiket penipuan tuntutan insurans melibatkan kerugian RM2.9 juta susulan penahanan 10 lelaki termasuk anggota penguat kuasa dalam Operasi Lejang Persatuan Insu­rans Am Malaysia (PIAM) 2018 di Selangor baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE