Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret di sini, Mohd. Anuar Ostadi mengeluarkan perintah reman tersebut terhadap kedua-dua suspek yang merupakan anak beranak masing-masing berusia 76 dan 43 tahun.

Terdahulu, suspek yang ma­sing-masing memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini pada pukul 11.10 pagi sambil di­iringi pegawai penguat kuasa suruhanjaya berkenaan.

Semalam, kedua-dua suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam salah guna kuasa sejak tahun 2014 hingga tahun 2015 dan kini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 serta boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai rasuah atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Hasil penahanan itu, akaun bernilai RM600,000 turut disita dan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta perkakasan syarikat bernilai hampir RM350,000 dirampas.

Misdec merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat peruntukan daripada Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan negeri Melaka untuk membina sebuah kolej berasaskan latihan kemahiran industri.

Difahamkan, Kementerian Sum­ber Manusia dan kerajaan negeri Melaka memperuntukkan RM4.5 juta kepada NGO tersebut, namun sehingga kini tidak ada sebarang latihan dilaksanakan.

Menurut sumber, kedua-dua beranak terbabit dikatakan telah menubuhkan sebuah syarikat dan memindahkan hampir kesemua wang itu ke dalam akaun syarikat tersebut bagi tujuan peribadi.