Zamrud Mansor, 77, dan anaknya, Hazizul, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Noordin.

Mengikut pertuduhan satu hingga kelima, kedua-dua tertuduh dengan niat bersama telah memindahkan wang dan menerima faedah berjumlah RM1.225 juta iaitu hasil daripada aktiviti haram milik syarikat Misdec Resources Sdn. Bhd. (MRSB) ke dua syarikat Digicity (M) Sdn. Bhd. dan I & R Precision Engineering Sdn. Bhd. bagi tujuan peribadi.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di CIMB Bank Berhad, Nombor 30 dan 32, Jalan Mutiara Melaka 2, Batu Berendam di sini antara 9 Oktober 2014 hingga 3 Ogos 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan dibaca bersama  Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Hazizul yang berkhidmat sebagai Pegawai Khas di Unit Pentadbiran Misdec turut berdepan dengan pertuduhan sama memindahkan wang berjumlah RM20,000 dari akaun CIMB Islamic Bank Berhad ke akaun Maybank milik Misdec di alamat sama pada 14 April 2015.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat manakala dua beranak itu diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork.

Mohd. Nasir membenarkan kedua-kedua tertuduh dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM100,000 setiap seorang dan menetapkan 9 April depan untuk serahan dokumen. - UTUSAN ONLINE