Tertuduh, Mohammad Faris Mat Esa, 27, dan Mohd Shahrel Mat Esa, 33 membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Faris telah melakukan rompakan dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa, Wong Chui Ling, 72, di Taman Limau Manis, Jalan Hamzah di sini pada pukul kira-kira 11.55 pagi, 25 Februari lalu.

Tertuduh yang merupakan penjawat awam didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun dan menyebabkan kecederaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mohamad Faris juga menghadapi dua pertuduhan dan didakwa bersama abangnya, Mohd. Shahrel mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan bagi kesalahan merompak berkumpulan yang membawa hukuman penjara maksimum selama 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falena Abu Bakar.

Mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan dan sebutan semula kes pada 22 Mac ini.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan cubaan dua lelaki meragut beg tangan milik wanita warga emas gagal selepas kelibat mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan kejadian itu tular dalam media sosial. – UTUSAN ONLINE